Mengenal kitab muhazzab
Kitab Muhazzab
Kitab al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i (المهذب في فقة الإمام الشافعي)
merupakan sebuah karya fiqh terpenting dalam mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun
oleh al-Imam Imam Abu Ishaq Ibrahim
al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H).
Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, kitab ini adalah rujukan
utama dalam mazhab Syafi’i sampai kurun ke 6 hijriah. Kitab ini adalah salah satu kitab termasyhur
di kalangan Syafi’iyyah selain kitab al-Mukhtashar karya Imam al-Muzani, al-Wasith dan al-Wajiz
karya Imama al-Ghazali serta al-Tanbih yang juga karya Imam al-Syirazi,
pengarang kitab al-Muhazzab ini. Imam al-Nawawi ketika berbicara tentang
kitab-kitab dalam mazhab Syafi’i berkata “Dari sekian banyak kitab-kitab fiqh
dalam mazhab Syafi’i, ada 2 kitab yang sangat masyhur sehingga dijadikan bahan
ajar di majelis-majelis serta menjadi kajian para peneliti. Kitab tersebut
adalah al-Muhazzab karya Imam al-Syirazi dan al-Wasith karya Imam al-Ghazali”.
Dalam khazanah fiqh mazhab Syafi’i, kitab al-Muhadzzab merupakan salah satu di antara kitab-kitab Safi’iyyah
yang menjadi kitab induk selepas kitab-kitab yang ditulis oleh para murid dan
perawi Imam Syafi’i, iaitu Imam al-Rabi’, Imam al-Muzzani, Imam al-Buwaithi dan
Imam al-Harmalah.
Tentang penulisan kitab ini, Imam Abu Ishaq al-Syairazi
berkata;
“Dalam kitab al-Muhazzab ini, Insya Allah saya akan
menyebutkan usul dan kaedah dasar dalam Mazhab Syafi’i beserta dalil-dalilnya.
Tak lupa pula saya sebutkan beberapa masalah furu’ (cabang) yang dihasilkan
usul tersebut lengkap berserta illatnya”.
Di sini jelas sekali tujuan beliau menulis kitab ini, adalah sebagai usaha untuk menjelaskan usul
dan kaedah asas dalam mazhab Syafi’i yang lengkap dengan dalilnya. Hal ini
sangat penting sekali terutama dalam tujuannya untuk membezakan mana pendapat
yang sah dikategorikan sebagai pendapat mazhab Syafi’i dan mana yang bukan.
Kitab al-Muhazzab ini –sebagaimana yang dikatakan oleh Imam
al-Syairazi- mula ditulis pada tahun 455
H dan selesai pada hari Ahad pada akhir bulan Rajab tahun 469H. Pada era yang
sama, Imam Haramaini Abu al-Ma-‘ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini
(419-478H), seorang tokoh ulama mazhab Syafi’i juga telah menulis kitab
monumentalnya Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Mazhab. Pada masa tersebut, dua
kitab ini (al-Muhazzab dan Nihayah al-Mathlab) adalah rujukan paling unggul dan
utama dalam fiqh Syafi’i.
Dalam kitab ini, Imam al-Syirazi telah menyebut Qawl-Qawl
(pandangan) Imam al-Syafi’i yang diriwayatkan oleh empat orang murid utama
beliau, sehingga dapat dijumpai beberapa versi Qawl Imam al-Syafi’i yang
berbeza, sesuai dengan riwayat yang
disampaikan oleh keempat-empat imam (perawi) tersebut. Contohnya; Dalam Bab
Thaharah: mengenai benda suci yang boleh merosakkan kemutlakan air dan yang
tidak; para perawi menukilkan pandangan yang berbeza; Imam al-Buwaithi
mengatakan bahawa air tersebut tidak dapat digunakan untuk berwuduk, seperti
air yang tercampur minyak za’faran. Sementara Imam al-Muzani memperbolehkan
wuduk dengan air tersebut, kerana perubahan air itu sebab berdampingan saja
(tidak bercampur) beliau meng-ilhaq-kannya dengan air yang berubah sebab
berdekatan dengan bangkai.
Dalam bahagian lain, juga akan dijumpai periwayatan yang
bertentangan dengan kaedah-kaedah mazhab dan usul. Dalam kes seperti ini biasanya
Imam al-Syairazi akan menjelaskan bahawa Qawl ini adalah khatha’,
gholath, naql sayyi’. Laisa bi syai’, atau syaz wa dha’if. Perbezaan-perbezaan
seperti ini bukanlah perkara yang menghairankan, kerana para Sahabat juga ada
meriwayatkan hadis-hadis yang berbeza dalam suatu permasalahan dari Rasulullah
saw.
Mentode Kitab al-Muhazzab
Metode penyampaian kitab ini secara umumnya adalah
sebagaimana kitab-kitab fiqh yang lain. Ringkasan kandungan kitab ini adalah
seperti berikut;
a) Ibadat : Thaharah, Shalat, Jenazah, Zakat,
Puasa, I’tikaf dan Haji.
b) Muamalat : Buyu’, Gadai, Shuluh, Hiwalah,
Dalman, Syirkah, Wakalah, Wadi’ah, ‘Ariyah, Ghashab, Syuf’ah, Qirodh, Musaqah,
Ijarah, Perlumbaan, Ihya al-Mawat, Luqathah, Laqith, Wakaf, Hibah, Wasiat,
Perbudakan, Mukatab, Ummul Walad, Fara-idh, Nikah, Mahar, Khulu’, Thalaq, Ila’,
Zihar, Li’an, Sumpah, Iddah, Penyusuan dan Nafkah.
c) Jinayat : Diyat, Pemberontak, Peperangan,
Hudud, Qodlo’, Persaksian dan Iqrar.
Terdapat beberapa ciri-ciri khusus yang terdapat dalam kitab
al-Muhazzab, antaranya;
a) Perkataan Imam al-Syairazi (قال في الحرملة), maksudnya Imam
al-Harmalah meriwayatkan Qawl (perkataan) Imam Syafi’i dalam kitab Mukhtashar
al-Harmalah. Manakala jika Imam al-Syirazi menyebut ( قال في البويطي)
maksudnya Imam Buwaithi meriwayatkan Qawl (perkataan) Imam al-Syafi’i dalam
kitab Mukhtashar al-Buwaithi.
b) Imam al-Syairazi selalu menggabungkan dalil naqli bersama dalil aqli, gaya ini
sebagai ciri khas mazhab Syafi’i yang terkenal dengan mazhab yang menggabungkan
metode Ahlu al-Ra’yi Ahlu al-Hadits.
Kitab-kitab yang berkaitan dengan kitab al-Muhazzab
Kitab al-Muhazzab mendapat perhatian yang besar dari para
ulama. Ia menjadi rujukan dan bahan kajian ilmiah para ulama, sehingga muncul
banyak karya ilmiah yang didasarkan darinya baik berupa ringkasan, syarah,
hasyiah, kritikan, tahqiqan, penjelasan terhadap kalimat-kalimat, takhrij hadis
dan atsar dan lainnya. Di antara para
ulama dan karya-karya tersebut adalah;
1. al-Qadhi Abu
‘Ali al-Hasan bin Ibrahim bin ‘Ali bin Barhun al-Fariqi (433-528H) melalui
karya Fawa-id ‘ala al-Muhazzab.
2. Abu Muhammad
Abdullah bin Yahya bin Abi al-Haytsam al-Sha’abi al-Yamani (553H) melalui
karyanya yang berjudul Ghayah al-Mufid wa Nihayah al-Mustafid fi al-Kalam
‘ala al-Muhazzab.
3. Abu Husain
Yahya bin Abu al-Khayr bin Salim al-‘Imrani al-Yamaniy (489-558H) melalui beberapa karyanya, iaitu;
al-Bayan Fi Mazhab al-Syafi‘i, Musykil al-Muhazzab (Bayan ma Asykala min
al-Muhazzab) dan Radd al-Su-al ‘amma fi al-Muhazzab.
4. Hamalul Islam
Abu Qasim Umar bin Muhammad bin Ahmad / Ibn al-Bazri (560H) melalui karyanya yang berjudul Hill Isykalat
al-Muhazzab.
5. Ibn Abu
‘Ashrun, Abu Sa’ad Syarafuddin Abdullah bin Muhammad bin Hibatullah bin
al-Mutahhar bin ‘Ashrun (493-585H) melalui karyanya yang berjudul al-Muzahhab Fi Gharib al-Muhazzab.
6. Muntajibuddin
Abu al-Futuh, As’ad bin Mahmud bin Khalaf al-‘Ijliy al-Ashbahani (515-600H)
yang berjudul Syarh al-Muhazzab.
7. Dhiya-uddin
Abu ‘Amru ‘Utsman bin ‘Isa Dirbas al-Kurdi al-Huzbani al-Maraniy al-Mishri
(516-602H), melalui karyanya yang berjudul al-Istiqshak Syarh al-Muhazzab.
8. Muhammad bin
Ahmad Baththal al-Rakabiy (630H),
melalui karyanya yang berjudul Nuzhum al-Musta’zib Fi Syarh Gharib al-Muhazzab.
9. al-Qala-‘i,
Muhammad bin ‘Ali bin Abi ‘Ali al-Qala-‘i al-Yamaniy (630H), melalui beberapa
karyanya, iaitu Ihtirazat al-Mazhab,
al-Mustaghrib fi al-Muhazzab dan
Kanz al-Huffazh fi Ghara-ib al-Alfazh al-Muhazzab.
10. Syamsuddin Abu
‘Abdullah Muhammad bin Mu’in bin Sulthan al-Syaibani al-Dimasyqi (640H),
melalui karyanya berjudul al-Tanqib ‘ala
al-Muhazzab.
11. Ya’qub bin Abdul
Rahim bin Ibn ‘Ashrun (665H) melalui karyanya
al-Masa-il ‘ala al-Muhazzab
12. Muhyiddin Abu
Zakariya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H) melalui karyanya al-Majmu’ Syarh
al-Muhazzab (المجموع شرح المهذب)
dan Nukat al-Muhazzab.
13. Abu al-Zabih
Isma’il bin Muhammad bin ‘Ali al-Hadhrami (676H) melalui karyanya Syarh al-Muhazzab.
14. Muhibbuddin Abu
al-‘Abbas Ahmad bin Abdullah al-Thabariy (615-694H) melalui karyanya al-Thiraz
al-Muzahhab (Mukhtashar al-Muhazzab).
Di antara kitab syarah-syarah (huraian) yang tersebut di
atas, yang paling terkenal dan menjadi rujukan utama para ulama mazhab Syafi’i
dan para ulama lainny adalah kitab al-Majmu’ (المجموع)
karya al-Imam al-Nawawi rahimahuLlah.
No comments: